Tuesday, June 1, 2010

Mengapa

Aku selalu tertanya-tanya...sewaktu umur masih 4 hingga 6 tahun, perasaan sedih sentiasa berkurung kerana melihat rakan-rakan semua telah mula mengeja dan membaca. Mereka dimanja, disayangi dan dibanggai walaupun hanya kerana berjaya mengeja perkataan "rumah", "bola" dan sebagainya. Tetapi aku? cuma berangan-angan ingin menjadi seperti mereka. Apa yang ada cuma hinaan, cercaan, kesakitan dan pandangan seolah-olah benci yang teramat sangat padaku. Kerdilnya aku dikala itu tidak mengerti apa-apa. Ntah mengenal dosa atau tidak. Apa yang membuak-buak dalam hati ialah keinginan untuk berjaya lebih dari mereka. Namun aku langsung tidak mengerti mengapa perlu membaca? mengapa tidak berdandan cantik seperti model iklan di TV yang tiap hari ditonton oleh sekalian manusia. Apalah sangat yang hendak dibanggai dengan satu perkataan "rumah" itu sahaja? Apa yang aku tahu, aku mengejar cinta, kasih sayang, perhatian dan kebanggaan daripada semua orang di sekeliling ku. Tapi bagaimana? dengan membaca?mengeja? Ya...akan ku turutkan walau apa cara sekalipun.

Seawal 7tahun, aku mula bersekolah, namun tidak pernah merasai indahnya dunia prasekolah. Hanya memandang kanak-kanak berbaju merah jambu bermain-main di sebelah pagar sekolah. Itupun jika berkesempatan meluangkan masa seketika tatkala mengisi perut yang perit. Setiap langkahku selepas itu hanya kosong..berbekalkan dendam dan keinginan...aku tidak menoleh ke belakang lagi..ku teruskan hingga impian yang selama ini aku pendam akhirnya tercapai jua. Aku jadi tempat bergantung rakan-rakan ku, kesayangan guru-guru ku, pujaan orang di sekeliling ku, idola para junior di sekolah ku. Tapi hati ini belum pernah mengerti dan puas dengan apa yang ku miliki. Masa berlalu, suasana berubah membiarkan kedewasaan ini mengambil alih setiap inci akal dan pemikiran. Hati kecil ini mula menunjukkan kasih pada yang tua, sedih pada yang dihina, simpati pada yang di bawah, berjuang untuk sama-sama berjaya... itulah ikatan persahabatn yang terlalu tinggi nilainya yang aku perolehi ketika belajar. Aku belajar sesuatu yang amat indah daripada rakan-rakan seperjuangan ku. Merekalah warna pelangi yang aku cari, cahaya liar dalam dinihari, denyutan nadi dalam sepi...

Berbekalkan ilmu yang tidak pernah menjadi seperti setitis air...aku berjalan hingga ke hari ini...masih belajar mencari meneroka kehidupan...tidak bermakna sesuatu kejayaan, sehingga kejayaan itu diperolehi daripada kehidupan...tidak bermakna sesuatu kehidupan, sehingga kehidupan itulah yang mengajar kita erti kemanusiaan. Belajarlah sesuatu untuk mengejar kehidupan, bukan mengejar besarnya anugerah yang manusia kurniakan.