Monday, April 26, 2010

DIA kekasihku

DIA kekasihku
Mencintaiku sepenuh hati
Menggembirakan hari-hari sepi
Melayani kerenah watak kecil ini

DIA kekasihku
Senyumannya sentiasa terukir indah
Redup matanya membelai jiwa
Tangisannya mencetuskan rasa

DIA kekasihku
Walau hati disakiti
Air mata kering sendiri
Menyangkalnya bagai membunuh diri

DIA kekasihku
Hanya wujud di dalam mimpi
Tiada jemu mendampingi
Watak kecil persis seorang puteri

Saturday, April 17, 2010

Mampukah aku menjadi seperti mereka...

Aku seorang gadis berusia seawal usia dua tahun pada waktu itu seolah-olah cukup mengerti tentang kehidupanku. Adik-beradikku yang ramai, ayah yang kadang-kadang membawa pulang seekor ikan untuk dimakan sekeluarga. Ibu yang setia menanti ayah di rumah. Ibu sangat penyayang dan amat lurus orangnya. Duit ehsan pemberian pakcik saudara semuanya diberi pada ayah. Ayahku berjudi setiap hari. Jika ada rezeki barang seringgit dua, itulah yang dimakan oleh kami sekeluarga. Mujurlah masih ada saudara-mara yang simpati melihat kami beradik..ada saja rezeki untuk dijamah tatkala perut pedih menahan kesakitan.

Aku membesar dalam keadaan yang agak keliru..seolah-olah aku sudah cukup mengerti makna kedaifan ini. Adik-beradik ku yang lain semuanya suka bermain...tidak menghiraukan kerja sekolah yang diberi oleh guru. Selalunya mereka tidak bersekolah, cuma berpakaian putih lusuh yang agak jarang dibasuh untuk mengelirukan ibu yang sememangnya tidak pernah bersekolah dan bersosial dengan sesiapa. Ayah pula seawal pagi lagi sudah menjalankan rutin hariannya mencari rakan-rakan judi. Ibu tidak pernah membantah apalagi bertekak dengan ayah. Ibu seolah-olah reda dengan segala yang dilaluinya.

Ibu dan ayah tidak pernah memberi aku kata-kata semangat untuk meneruskan kehidupan ini. Apalagi untuk berjuang memberikan yang terbaik dalam hidup. Aku sedikit pun tidak menyalahkan mereka. Walau cuma berjalan kaki sejauh 3km ke sekolah, berbaju lusuh peninggalan kakak 7tahun yang lalu, berkasut hasil ihsan saudara atau cuma berbekal air kosong setiap hari ke sekolah, atau hanya mampu memandang makanan yang lazat di depan mata. aku reda dengan apa yang ada. Sekurang-kurangnya...aku tidak meminta simpati dengan sesiapa. Seperti mana kata-kata Ustazah tempoh hari, dunia ini hanya sementara...akhirat jua yang selamanya...Allah tidak membebani seseorang hambanya selain yang mampu diharunginya...

Tidak seperti keluarga yang lain, aku melihat kelainan yang agak ketara. aku mahu seperti mereka, seperti rakan-rakanku yang mempunyai kehidupan yang sempurna. Di sekolah pula, guru sedaya upaya memberikan kepuasan pada setiap persoalan di mindaku. Terima kasih cikgu, kerana cikgulah saya mampu bertahan mengharungi liku-liku hidup ini. Namun jauh di sudut hatiku, dengan sisa kekuatan yang ada ini...berdayakah aku untuk menjadi seperti mereka?

Sepi

Lamanya dia menyepi...
Kini kembali mewarnai...
Ada sesuatu yang memikat hati...
Seketika terhenti...
Tatkala senyumnya di hujung langit...

Friday, April 16, 2010

Hati bahagia

Setiap insan di muka bumi ini menginginkan hati yang bahagia,
Namun kebahagian hati yang dipinta amatlah beda antara manusia,
Ada yang meminta dengan kelembutan,
Tidak kurang yang meminta dengan kerakusan,

Lembutnya kata-kata meminta hati bahagia,
Kebenarannya membawa alpa,
Kesilapannya membawa sengsara,

Rakusnya ekspresi diri meminta hati bahagia,
Kebenarannya membawa derita,
Kesilapannya membawa bencana,

Thursday, April 8, 2010

Susahnya mengenal hati sendiri

Betapa susahnya mengenal hati sendiri,
Kekadang aku sendiri keliru dengan kata hatiku,
Adakalanya kata hati itulah yang memandu hidup,
Tidak kurang juga yang menghancurkan semuanya,
Mengapalah susahnya memahami hati,
Walaupun hati sendiri,
Mengapalah nak disalahkan hati,
Sedangkan hati cuma mengikuti apa kata akal,
Berapa ramaikah yang cuba mengenal hati sendiri?
Namun tidak seramai mereka yang berlumba memahami hati kekasih,
Mengapa hati sendiri dipinggirkan?
Sedangkan hati yang lain dijaga sempurna...

Saturday, April 3, 2010

Salam 1 Malaysia

Pertama kalinya terdetik hati untuk memulakan kata-kata
yang telah lama terbuku di minda. Sedang asyik berfikir,
tidak tahu di mana awalan dan akhirannya... mengapa dan
kenapa harus begini begitu...benar atau haruskah begitu.
Tidak dapat menampung beratnya fikiran menanggung segala
persoalan, lalu ku kejarkan jari jemari ini mengutarakan
simboliknya hati dengan titisan pena...