Tuesday, June 1, 2010

Mengapa

Aku selalu tertanya-tanya...sewaktu umur masih 4 hingga 6 tahun, perasaan sedih sentiasa berkurung kerana melihat rakan-rakan semua telah mula mengeja dan membaca. Mereka dimanja, disayangi dan dibanggai walaupun hanya kerana berjaya mengeja perkataan "rumah", "bola" dan sebagainya. Tetapi aku? cuma berangan-angan ingin menjadi seperti mereka. Apa yang ada cuma hinaan, cercaan, kesakitan dan pandangan seolah-olah benci yang teramat sangat padaku. Kerdilnya aku dikala itu tidak mengerti apa-apa. Ntah mengenal dosa atau tidak. Apa yang membuak-buak dalam hati ialah keinginan untuk berjaya lebih dari mereka. Namun aku langsung tidak mengerti mengapa perlu membaca? mengapa tidak berdandan cantik seperti model iklan di TV yang tiap hari ditonton oleh sekalian manusia. Apalah sangat yang hendak dibanggai dengan satu perkataan "rumah" itu sahaja? Apa yang aku tahu, aku mengejar cinta, kasih sayang, perhatian dan kebanggaan daripada semua orang di sekeliling ku. Tapi bagaimana? dengan membaca?mengeja? Ya...akan ku turutkan walau apa cara sekalipun.

Seawal 7tahun, aku mula bersekolah, namun tidak pernah merasai indahnya dunia prasekolah. Hanya memandang kanak-kanak berbaju merah jambu bermain-main di sebelah pagar sekolah. Itupun jika berkesempatan meluangkan masa seketika tatkala mengisi perut yang perit. Setiap langkahku selepas itu hanya kosong..berbekalkan dendam dan keinginan...aku tidak menoleh ke belakang lagi..ku teruskan hingga impian yang selama ini aku pendam akhirnya tercapai jua. Aku jadi tempat bergantung rakan-rakan ku, kesayangan guru-guru ku, pujaan orang di sekeliling ku, idola para junior di sekolah ku. Tapi hati ini belum pernah mengerti dan puas dengan apa yang ku miliki. Masa berlalu, suasana berubah membiarkan kedewasaan ini mengambil alih setiap inci akal dan pemikiran. Hati kecil ini mula menunjukkan kasih pada yang tua, sedih pada yang dihina, simpati pada yang di bawah, berjuang untuk sama-sama berjaya... itulah ikatan persahabatn yang terlalu tinggi nilainya yang aku perolehi ketika belajar. Aku belajar sesuatu yang amat indah daripada rakan-rakan seperjuangan ku. Merekalah warna pelangi yang aku cari, cahaya liar dalam dinihari, denyutan nadi dalam sepi...

Berbekalkan ilmu yang tidak pernah menjadi seperti setitis air...aku berjalan hingga ke hari ini...masih belajar mencari meneroka kehidupan...tidak bermakna sesuatu kejayaan, sehingga kejayaan itu diperolehi daripada kehidupan...tidak bermakna sesuatu kehidupan, sehingga kehidupan itulah yang mengajar kita erti kemanusiaan. Belajarlah sesuatu untuk mengejar kehidupan, bukan mengejar besarnya anugerah yang manusia kurniakan.

Saturday, May 29, 2010

Hatiku dan Hatimu...

Hati memang payah dimengerti
Hati memang suka berteka-teki
Hati memang selalu disangsi
Hati memang mudah disakiti

Hatiku takkan mengerti hatimu
Hatiku sentiasa meneka hatimu
Hatiku adakalanya sangsi pada hatimu
Hatiku amat mudah menyakiti hatimu

Hatimu sampai bila pun takkan mengerti hatiku
Hatimu sentiasa berteka-teki tentang hatiku
Hatimu selalu sangat sangsi pada hatiku
Hatimu begitu mudah menyakiti hatiku

Mengambil kesempatan?

Hidup ini tidak semudah yang disangka, terlalu begitu ramai orang di sekeliling yang tidak pernah tahu ertinya kewujudan mereka di dunia. Terlalu ramai yang mementingkan diri sendiri, dalam erti kata lain, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk ketenangan dan kebahagiaan diri sendiri dengan cara yang salah. Tanpa disedari,mereka melukakan perasaan, mewujudkan rasa benci yang begitu mendalam, menimbulkan dendam amarah yang sangat tinggi malah tidak kurang yang mengikuti tindakan kejam mereka. Orang yang mengambil kesempatan tersembunyi di sekeliling kita...adakala ianya telah drancang ataupun dilakukan tanpa disedari. Persoalannya mengapa harus ada manusia yang bersikap begini? sedangkan manusia itu dijadikan sama lengkap dengan akal dan fikiran yang diwajibkan kepada setiap manusia untuk berfikir dan menimbang sesuatu perkara? Siapa yang suka mengambil kesempatan? Lelaki kepada wanita? Wanita kepada lelaki? Anak kepada Ayah? Ayah kepada anak? Pekerja kepada majikan? Majikan kepada pekerja? Kawan kepada kawan? Kita kepada kawan? Semuanya berlaku di hadapan mata tanpa mengira usia. Mengambil kesempatan yang sering dituturkan oleh masyarakat kita merujuk kepada perlakuan seseorang yang meminta sesuatu atau melakukan sesuatu sama ada dengan perkataan atau perbuatan atau kedua-duanya dengan niat memberi kelebihan,kebaikan atau kepuasan kepada dirinya sendiri.

Dalam hal kita sehari-hari, adakalanya seseorang rakan berkawan dengan kita hanya kerana kita telah menyiapkan sesuatu tugasan, yang mana tugasan tersebut perlu dihantar untuk menunjukkan prestasi kendiri. Seorang lelaki yang dikatakan mengambil kesempatan terhadap seorang wanita adalah kerana ingin memuaskan nafsu lelakinya semata-mata atau mungkin kekayaan wanita tersebut. Seorang wanita yang suka mengambil kesempatan terhadap lelaki pula adalah kerana segala permintaannnya perlu dituruti demi kesenangan sementaranya. Seorang rakan yang suka mengambil kesempatan terhadap rakannya adalah kerana kebergantungan terhadap rakannya itu adalah tinggi. Sama ada disebabkan rakannya mempunyai kelengkapan dan kebolehan yang boleh dipergunakan dan untuk memudahkan dirinya juga. Naluri setiap manusia inginkan kemewahan, kesenangan dan kebahagiaan yang mana secara sedar atau tidak kita telah menganiaya orang lain yang tidak berdosa..Mereka yang selalu diambil kesempatan ini adalah mereka yang bersifat lemah hati, suka menolong orang lain dan sangat bersimpati dengan kehidupan orang lain. Sesetengah daripada mereka ini akan berusaha untuk membantu walaupun diri sendiri mengalami kesusahan. Sedarlah anak-anak...pakcik makcik...rakan-rakan sekalian....Fikirkanlah apa yang dituturkan, apa yang diminta dan apa yang akan kita lakukan kepada seseorang...kerana hidup tidak semudah yang disangka, setiap perbuatan pasti ada balasannya..tidak hari ini..mungkin esok lusa...atau masa tua kita jua...

Monday, April 26, 2010

DIA kekasihku

DIA kekasihku
Mencintaiku sepenuh hati
Menggembirakan hari-hari sepi
Melayani kerenah watak kecil ini

DIA kekasihku
Senyumannya sentiasa terukir indah
Redup matanya membelai jiwa
Tangisannya mencetuskan rasa

DIA kekasihku
Walau hati disakiti
Air mata kering sendiri
Menyangkalnya bagai membunuh diri

DIA kekasihku
Hanya wujud di dalam mimpi
Tiada jemu mendampingi
Watak kecil persis seorang puteri

Saturday, April 17, 2010

Mampukah aku menjadi seperti mereka...

Aku seorang gadis berusia seawal usia dua tahun pada waktu itu seolah-olah cukup mengerti tentang kehidupanku. Adik-beradikku yang ramai, ayah yang kadang-kadang membawa pulang seekor ikan untuk dimakan sekeluarga. Ibu yang setia menanti ayah di rumah. Ibu sangat penyayang dan amat lurus orangnya. Duit ehsan pemberian pakcik saudara semuanya diberi pada ayah. Ayahku berjudi setiap hari. Jika ada rezeki barang seringgit dua, itulah yang dimakan oleh kami sekeluarga. Mujurlah masih ada saudara-mara yang simpati melihat kami beradik..ada saja rezeki untuk dijamah tatkala perut pedih menahan kesakitan.

Aku membesar dalam keadaan yang agak keliru..seolah-olah aku sudah cukup mengerti makna kedaifan ini. Adik-beradik ku yang lain semuanya suka bermain...tidak menghiraukan kerja sekolah yang diberi oleh guru. Selalunya mereka tidak bersekolah, cuma berpakaian putih lusuh yang agak jarang dibasuh untuk mengelirukan ibu yang sememangnya tidak pernah bersekolah dan bersosial dengan sesiapa. Ayah pula seawal pagi lagi sudah menjalankan rutin hariannya mencari rakan-rakan judi. Ibu tidak pernah membantah apalagi bertekak dengan ayah. Ibu seolah-olah reda dengan segala yang dilaluinya.

Ibu dan ayah tidak pernah memberi aku kata-kata semangat untuk meneruskan kehidupan ini. Apalagi untuk berjuang memberikan yang terbaik dalam hidup. Aku sedikit pun tidak menyalahkan mereka. Walau cuma berjalan kaki sejauh 3km ke sekolah, berbaju lusuh peninggalan kakak 7tahun yang lalu, berkasut hasil ihsan saudara atau cuma berbekal air kosong setiap hari ke sekolah, atau hanya mampu memandang makanan yang lazat di depan mata. aku reda dengan apa yang ada. Sekurang-kurangnya...aku tidak meminta simpati dengan sesiapa. Seperti mana kata-kata Ustazah tempoh hari, dunia ini hanya sementara...akhirat jua yang selamanya...Allah tidak membebani seseorang hambanya selain yang mampu diharunginya...

Tidak seperti keluarga yang lain, aku melihat kelainan yang agak ketara. aku mahu seperti mereka, seperti rakan-rakanku yang mempunyai kehidupan yang sempurna. Di sekolah pula, guru sedaya upaya memberikan kepuasan pada setiap persoalan di mindaku. Terima kasih cikgu, kerana cikgulah saya mampu bertahan mengharungi liku-liku hidup ini. Namun jauh di sudut hatiku, dengan sisa kekuatan yang ada ini...berdayakah aku untuk menjadi seperti mereka?

Sepi

Lamanya dia menyepi...
Kini kembali mewarnai...
Ada sesuatu yang memikat hati...
Seketika terhenti...
Tatkala senyumnya di hujung langit...

Friday, April 16, 2010

Hati bahagia

Setiap insan di muka bumi ini menginginkan hati yang bahagia,
Namun kebahagian hati yang dipinta amatlah beda antara manusia,
Ada yang meminta dengan kelembutan,
Tidak kurang yang meminta dengan kerakusan,

Lembutnya kata-kata meminta hati bahagia,
Kebenarannya membawa alpa,
Kesilapannya membawa sengsara,

Rakusnya ekspresi diri meminta hati bahagia,
Kebenarannya membawa derita,
Kesilapannya membawa bencana,

Thursday, April 8, 2010

Susahnya mengenal hati sendiri

Betapa susahnya mengenal hati sendiri,
Kekadang aku sendiri keliru dengan kata hatiku,
Adakalanya kata hati itulah yang memandu hidup,
Tidak kurang juga yang menghancurkan semuanya,
Mengapalah susahnya memahami hati,
Walaupun hati sendiri,
Mengapalah nak disalahkan hati,
Sedangkan hati cuma mengikuti apa kata akal,
Berapa ramaikah yang cuba mengenal hati sendiri?
Namun tidak seramai mereka yang berlumba memahami hati kekasih,
Mengapa hati sendiri dipinggirkan?
Sedangkan hati yang lain dijaga sempurna...

Saturday, April 3, 2010

Salam 1 Malaysia

Pertama kalinya terdetik hati untuk memulakan kata-kata
yang telah lama terbuku di minda. Sedang asyik berfikir,
tidak tahu di mana awalan dan akhirannya... mengapa dan
kenapa harus begini begitu...benar atau haruskah begitu.
Tidak dapat menampung beratnya fikiran menanggung segala
persoalan, lalu ku kejarkan jari jemari ini mengutarakan
simboliknya hati dengan titisan pena...