Saturday, April 17, 2010

Mampukah aku menjadi seperti mereka...

Aku seorang gadis berusia seawal usia dua tahun pada waktu itu seolah-olah cukup mengerti tentang kehidupanku. Adik-beradikku yang ramai, ayah yang kadang-kadang membawa pulang seekor ikan untuk dimakan sekeluarga. Ibu yang setia menanti ayah di rumah. Ibu sangat penyayang dan amat lurus orangnya. Duit ehsan pemberian pakcik saudara semuanya diberi pada ayah. Ayahku berjudi setiap hari. Jika ada rezeki barang seringgit dua, itulah yang dimakan oleh kami sekeluarga. Mujurlah masih ada saudara-mara yang simpati melihat kami beradik..ada saja rezeki untuk dijamah tatkala perut pedih menahan kesakitan.

Aku membesar dalam keadaan yang agak keliru..seolah-olah aku sudah cukup mengerti makna kedaifan ini. Adik-beradik ku yang lain semuanya suka bermain...tidak menghiraukan kerja sekolah yang diberi oleh guru. Selalunya mereka tidak bersekolah, cuma berpakaian putih lusuh yang agak jarang dibasuh untuk mengelirukan ibu yang sememangnya tidak pernah bersekolah dan bersosial dengan sesiapa. Ayah pula seawal pagi lagi sudah menjalankan rutin hariannya mencari rakan-rakan judi. Ibu tidak pernah membantah apalagi bertekak dengan ayah. Ibu seolah-olah reda dengan segala yang dilaluinya.

Ibu dan ayah tidak pernah memberi aku kata-kata semangat untuk meneruskan kehidupan ini. Apalagi untuk berjuang memberikan yang terbaik dalam hidup. Aku sedikit pun tidak menyalahkan mereka. Walau cuma berjalan kaki sejauh 3km ke sekolah, berbaju lusuh peninggalan kakak 7tahun yang lalu, berkasut hasil ihsan saudara atau cuma berbekal air kosong setiap hari ke sekolah, atau hanya mampu memandang makanan yang lazat di depan mata. aku reda dengan apa yang ada. Sekurang-kurangnya...aku tidak meminta simpati dengan sesiapa. Seperti mana kata-kata Ustazah tempoh hari, dunia ini hanya sementara...akhirat jua yang selamanya...Allah tidak membebani seseorang hambanya selain yang mampu diharunginya...

Tidak seperti keluarga yang lain, aku melihat kelainan yang agak ketara. aku mahu seperti mereka, seperti rakan-rakanku yang mempunyai kehidupan yang sempurna. Di sekolah pula, guru sedaya upaya memberikan kepuasan pada setiap persoalan di mindaku. Terima kasih cikgu, kerana cikgulah saya mampu bertahan mengharungi liku-liku hidup ini. Namun jauh di sudut hatiku, dengan sisa kekuatan yang ada ini...berdayakah aku untuk menjadi seperti mereka?

No comments:

Post a Comment